KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelamatkan 663 projek swasta sakit dan terbengkalai termasuk menyelamatkan 78,554 pembeli rumah dalam tempoh kurang dua tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM57,09 billion.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023, Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah Berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai (53,697, unit rumah) dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM39.814 bilion.
“Sementara itu, bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Mei 2024 pula, sebanyak 211 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai telah berjaya dipulihkan dengan GDV sebanyak RM17.28 billion yang melibatkan 24,857 unit rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) supaya Kor Ming menyatakan bantuan yang disediakan kementerian terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah ‘projek sakit’ khususnya di bawah inisiatif perumahan rakyat.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT telah melaksanakan kaedah secara berfokus bagi mengurangkan beban
pembeli yang terkesan.
Ia termasuklah mengemukakan senarai nama pembeli yang terkesan dengan projek-projek perumahan Kerajaan seperti Residensi Wilayah, PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman.
“KPKT juga mengeluarkan surat pengesahan projek perumahan swasta sakit atau terbengkalai oleh Pengawal Perumahan mengikut seksyen 8A(1)(c) bagi pembeli yang bercadang untuk menamatkan perjanjian jual beli kediaman. Pembeli boleh mendapatkan khidmat peguam bagi meneruskan prosedur penamatan ini dan pemantauan melalui TFST termasuk mengadakan libat urus dan perbincangan dengan pemaju untuk mencari penyelesaian bagi mempercepatkan penyiapan projek,” tambahnya.- MalaysiaGazette