Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menerima cenderamata daripada Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin pada Majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan ke 40 RESPA di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2024

KUALA LUMPUR- Tangkapan ke atas lapan warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kumpulan militan, Daesh atau IS adalah dibuat berdasarkan maklumat perisikan Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan di bawah Akta Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) juga adalah berdasarkan tindakan yang bakal mengancam dan mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

Penangkapan lapan individu termasuk seorang bekas pensyarah sebuah universiti tempatan serta dua wanita berusia antara 25 hingga 70 tahun ini dibuat dalam konteks pencegahan, katanya.

“Bukti yang diperoleh dalam tindakan ini adalah berdasarkan maklumat perisikan dalam proses siasatan polis yang dikumpulkan oleh Bahagian 8, Cawangan Khas sejak sekian lama.

“Saya ingin sebutkan di sini berdasarkan siasatan dan perisikan yang dikumpulkan ini maka terbukti penyebaran ideologi yang boleh mengancam dan mengganggu-gugat keselamatan negara itu menjadi objektif utama mereka (Daesh).

“Seterusnya selepas keputusan muktamad diputuskan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka disyorkan untuk tangkapan dibuat terhadap mereka yang disyaki ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-40, Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di sini hari ini.

Menurut beliau, kumpulan Daesh adalah satu istilah namun apa yang membahayakan negara dan masyarakat di negara ini adalah fahaman dan ideologi yang didokong mereka.

“Kita (kerajaan) benar-benar mengambil serius tentang fahaman dan ideologi yang dibawa oleh individu dan ahli Daesh ini kerana objektif dan misi merbahaya yang dibawa mereka.

“Sebagai contoh, kumpulan seperti Daesh ini tidak akan berpaksikan atau tidak berasaskan kepada khalifah atau (pemimpin) sesebuah kerajaan dan mereka juga akan cuba membuat satu penentangan.

“Jika mengikut urutan, sasaran utama kumpulan yang membawa fahaman dan ideologi militan seperti ini, pertama sekali adalah kepimpinan tertinggi pasukan polis sebelum menyasarkan pemimpin kerajaan dan VVIP (orang kenamaan) lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan dalam penangkapan ahli Daesh, pihaknya berjaya mematahkan cubaan mereka yang merancang untuk menyerang orang kenamaan dan pegawai kanan dalam pasukan PDRM.

Malah, katanya, KDN juga turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai dan masyarakat tentang sebarang tindakan yang bersifat radikalisme, ekstremisme, penentangan, penyebaran ideologi bersifat kebencian.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati untuk elemen keganasan di negara ini,” jelasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pekerja restoran didakwa sokong, mengaku ahli kumpulan Daesh

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here