Pekerja restoran Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis (dua, kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh, iaitu memberi sokongan, memiliki artikel dan video, di samping mengaku menjadi ahli kumpulan pengganas itu, bulan lepas.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh, iaitu memberi sokongan, memiliki artikel dan video, di samping mengaku menjadi ahli kumpulan pengganas itu, bulan lepas.

Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, 35, mengangguk tanda faham selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (bahasa arab), di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 4.50 petang, 31 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel-artikel dan video berkaitan Daesh di lokasi, tarikh dan masa yang sama, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengaku keahlian kumpulan Daesh dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin Daesh, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras di sini pada 10.08 pagi Mei lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan untuk pihaknya menyerahkan laporan daripada pakar berhubung barangan berkaitan kumpulan pengganas itu kepada mahkamah.

Fadzlin Suraya menetapkan sebutan kes pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen berkaitan. –  BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast