Tan Sri Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan oleh pasukan pembelaan mewakili Datuk Seri Najib Razak, pihaknya mahu memanggil semula bekas Pengarah SRC International Sdn  Bhd, Tan Sri Ismee Ismail bagi keterangan balas.

Untuk makluman, ketika ini sedang berlangsung prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.

Selain Najib dan Nik Faisal, turut dinamakan SRC sebagai responden ialah Ismee sendiri, Datuk Suboh Md Yasin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

Hari ini, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pihaknya mahu menyoal balas beberapa perkara lagi daripada Ismee.

Ismee sudah memberikan keterangannya sebelum ini antara 5 hingga 13 Jun.

Bagaimanapun mahkamah dimaklumkan, Ismee ketika ini berada di luar negara dan hanya akan pulang pada hari Ahad ini.

Hakim kemudian menetapkan 29 Jun bagi mendengar keterangan Ismee.

SRC mendakwa defenden yang disamannya itu bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon pengisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here