Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Penutup Mesyuarat Agung Tahunan ke 40 RESPA di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan untuk melonjak ke Tahap 1 (Tier 1) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah menggariskan tiga perkara bagi mencapai sasaran ke Tahap 1 (Tier 1).

Menurut beliau, pihaknya menyambut baik peningkatan positif kepada Malaysia yang berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan JNAS pada tahun 2024 yang dikeluarkan malam tadi.

“Dalam laporan itu juga disebut beberapa perkara yang masih belum dipatuhi sepenuhnya dan KDN komited dan mensasarkan untuk melonjak ke Tier 1 pada masa akan datang.

“Susulan itu, bagi mencapai sasaran berkenaan saya telah menggariskan tiga perkara dalam usaha untuk mencapai Tier 1 iaitu capacity building. Yang kedua ialah kerjasama antara agensi dan mengekalkan indikator penilaian selain menambah baik peraturan dan perundangan supaya lebih efektif.

“Dengan peningkatan tahap ini, kita tiada lagi kerisauan, kebimbangan atau gunda gulana mengenai sekatan pasaran produk yang dihasilkan industri perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan majlis penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 Tahun 2024 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini.

Turut hadir bersamanya adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Jelas Saifuddin, dalam sektor perladangan seperti Sime Darby dan juga syarikat pengeluaran sarung tangan, Top Glove yang sebelum ini berdepan tindakan sekatan dari jabatan itu sudah tidak lagi berdepan kekangan selepas mereka memenuhi dan membuat penambahbaikan seperti disyorkan.

“Apabila JNAS melihat segala usaha penambahbaikan ini dilaksanakan oleh Malaysia, maka mereka memberikan rating atau penilaian kedudukan ini yang akhirnya membawa kita melonjak ke Tier 2 kali ini,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin menambah, laporan berkenaan juga menggariskan sebanyak 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia selepas ini untuk penilaian pada tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

“Usaha kita untuk menoktahkan pemerdagangan orang di negara ini memerlukan kerjasama erat dan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif yang signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, bagi penilaian terdahulu, Malaysia disenaraikan sebagai kedudukan Tahap 2 watchlist (senarai pengawasan).

Kali terakhir Malaysia diletakkan dalam kategori Tier 2 adalah pada 2017. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia menunjukkan peningkatan positif isu pemerdagangan manusia