Tan Sri Annuar Musa

NIBONG TEBAL – Kerajaan Perpaduan perlu memberi penjelasan dalam isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat yang didakwa menyokong rejim Israel.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia susulan MAHB merupakan aset strategik negara, selain masih mencatatkan keutungan.

Jelas beliau, sepatutnya, kerajaan membeli lapangan terbangan negara lain menggunakan kepakaran MAHB.

“Isu (penjualan saham MAHB) dipersoalkan bukan sebab pembelian saham tapi ia aset strategik negara yang sedang berada dalam keadaan untung.

“Jadi kerajaan patut menjelaskan apa perlunya jual benda yang untung atau kita pandai menguruskannya.

“Kita patut tunjuk pada negara lain kami (MAHB) uruskan 39 lapangan terbang dan boleh menjana keuntungan tapi ini tiba-tiba nak jual dalam suasana penuh kontroversi,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unita Daerah Mengundi (UDM) Tasek Junjung di sini, malam tadi.

Beliau hadir bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian Datuk Seri Mohamad Hasan dalam penjualan saham MAHB adalah pandangan peribadi, Annuar berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu telah memperlekehkan suara sayap UMNO kerana pemuda turut menyatakan bantahan dalam isu ini.

“Jika pendapat timbalan presiden dan pemuda UMNO itu adalah pandangan peribadi, adakah pendapat Zahid juga bersifat peribadi?

“Jadi ini satu manifestasi bagaimana keadaan UMNO langsung tidak membawa hati nurani rakyat.. sedangkan semua orang tau sentimen rakyat tentang perkara ini,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid menegaskan pendirian UMNO senada dengan kepimpinan kerajaan dalam penjualan sebahagian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkait Blackrock Inc (Blackrock).

Beliau turut menyifatkan kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung isu itu sebelum ini adalah pandangan peribadi. – MalaysiaGazette