Siti Zailah merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang kali ke-36 di Sungai Gau pada kelmarin.

TEMERLOH – Penglibatan anak muda khasnya dalam kalangan anak-anak ahli Pas perlu berada dalam jemaah sejajar dengan misi parti memerlukan ramai  teknokrat dan profesional pada masa depan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia sebagai langkah strategik selain penglibatan golongan profesional dalam Dewan Muslimat yang menjadi penyumbang utama untuk merealisasikan misi Pas Teraju Pahang.

“Anak-anak kita yang profesional perlu bersama dengan kita supaya mereka ini akan mampu menjadi pelapis pemimpin yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan kita yang tidak bertepi.

“Usrah dan tarbiah dalam Pas boleh membentuk mereka menjadi mukmin yang kuat dalam mengurus tadbir negara dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Siti Zailah, parti menuju ke arah usaha mentadbir negeri dan negara dan memerlukan ramai teknokrat dan tenaga profesional dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Salamiah Mohd Nor berkata, tarbiah Islamiah dapat membentuk seseorang menjadi mukmin yang beramal soleh dan bertaqwa kepada Allah.

”Seorang mukmin perlu juga memberi sumbangan kepada Islam, berjihad di jalan Allah tanpa sebarang bayaran. Inilah pengorbanan yang ikhlas sehinggalah pengorbanan tersebut Allah memberikan bantuan pertolongan kemenangan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Temerloh itu berpendapat muslimat perlu berperanan menyebarluaskan aktiviti-aktiviti dan pencapaian prestasi yang baik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pas di media sosial. – MalaysiaGazatte

1 Komen

  1. pas kena kaji semula tadika pasti yang ditempatkan di markas aka bilik gerakan politik parti.

Comments are closed.