Warga Singapura direman disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat milikannya tidak dikenakan bayaran cukai.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang individu warga Singapura kerana disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat milikannya tidak dikenakan bayaran cukai.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Susulan penahanan itu, suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 30 Jun telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.

“Siasatan awal mendapati wang tersebut telah diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa secara tunai.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette