Datuk Noor Hisam Nordin (kanan)

KUANTAN – Seorang jururawat di Temerloh kerugian RM88,700 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan atas talian sehingga baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa telah membuat 12 kali transaksi ke dalam tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM 88,700 akibat terlalu takut selepas dihubungi pihak sindiket.

Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan ((NSRC) pada pertengahan Jun lalu.

Pegawai berkenaan mendakwa akaun mangsa dalam siasatan pihak polis kerana telah digunakan oleh pihak sindiket, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selepas itu, mangsa telah disambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan turut terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Untuk menyelesaikan kes, “pihak polis” telah menasihatkan mangsa memindahkan wang simpanannya itu ke dalam akaun bank yang diberi,” tambahnya,

Noor Hisam menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadim angsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefona yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette