Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KUALA LUMPUR –  Bekas calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu pada borang tuntutan bayaran hartanah.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohammed Hafiz Baharudin, 48, yang dikenali dengan gelaran Tok Merah dan Hazlin Suraya Halim, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan, bekas calon DUN pada pilihan raya yang lalu itu sebagai pengarah syarikat Red Hot Builders Sdn Bhd dan isterinya dengan niat memasukkan penyataa palsu dalam enam borang JPPH/T/11/A untuk tujuan menipu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 17 September 2019 hingga 3 Julai 2020 bertempat di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Seremban.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh.

Namun, mereka yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan serta memberikan tempoh dua bulan untuk melantik peguam.

Kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka memaklumkan sebagai pengarah syarikat mereka tiada niat untuk menipu dan hanya mengetahui mengenai kes berkenaan pada Sabtu lalu.

Mahkamah kemudiannya, menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mereka turut dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes pada 24 Julai ini.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda sekiranya disabitkan bersalah. – MalaysiaGazette