Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul digesa menjalankan satu siasatan serta mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen kerajaan yang dilihat tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 hari ini.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, gesaan itu penting bagi memastikan tiada unsur-unsur khianat mahupun boikot terhadap RUU yang dibentangkan oleh pihak kerajaan.

“Tan Sri Speaker (Johari Abdul) saya nak point out the fact, tadi dua orang ahli Parlimen daripada MCA tidak mengundi (RUU).

“Jadi saya nak minta Tan Sri untuk menyiasat sama ada dua MP MCA ini sengaja boikot atau tidak,” katanya ketika membahaskan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2004.

Di Dewan Rakyat, MCA hanya mempunyai dua ahli Parlimen iaitu Ayer Hitam (Datuk Seri Wee Ka Siong) dan Tanjong Piai (Datuk Seri Wee Jeck Seng).

Lip Eng dalam pada itu turut meminta agar Johari menyiasat sama ada tindakan tidak mengundi bagi RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 adalah sengaja dibuat atau tidak.

“Kalau betul-betul mereka sengaja tidak mahu mengundi untuk pihak kerajaan saya minta Tan Sri Speaker mempertimbangkan mengalih tempat mereka daripada sini (blok kerajaan) ke blok pembangkang,” katanya lagi.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan rang undang-undang untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah pada Isnin lalu diluluskan melalui undi suara majoriti selepas perbahasan hangat.

Dalam bacaan kali kedua RUU yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sesi petang tadi diluluskan melalui undian blok dengan 93 menyokong, 63 menentang manakala 66 tidak hadir.

RUU itu bertujuan untuk membubarkan MAVCOM, memindahkan hak, kuasa dan dananya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kontrak sedia ada yang dibuat oleh Mavcom akan kekal sah sehingga tamat tempoh.

Sebaik sahaja digubal, Mavcom dan kakitangannya akan berintegrasi secara beransur-ansur ke dalam CAAM menjelang tahun depan, bertujuan untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan penerbangan awam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here