Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

BUTTERWORTH – Dua penjenayah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, awal pagi tadi.

Dua lelaki tempatan berusia 41 dan 54 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam insiden jam 2 pagi itu.

MalaysiaGazette difahamkan, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menjumpai sebuah kereta Myvi dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Pokok Sena menghala Jalan Permatang Baru.

Susulan itu, pihak polis meminta pemandu kereta berkenaan memberhentikan kenderaan namun suspek bertindak memecut laju sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Bagi mempertahankan diri pihak polis terpaksa berbalas tembakan sebelum mendapati kedua-dua suspek ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan, kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Selain itu, polis turut menemui dua pucuk pistol serta peluru dalam kereta yang dinaiki suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan insiden tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette