Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko di Kuala Lumpur susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini pada Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu bertujuan mengkolabarasikan aspek-aspek penyelidikan, pengetahuan, aplikasi teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut beliau, selain DBKL selaku peneraju, ia turut melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk para akademik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), badan profesional seperti Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur.

Keanggotaan juga akan turut diperluaskan kepada beberapa NGO aktivis alam sekitar.

“Perkongsian ilmu dan maklumat dari keanggotaan ini akhirnya diharapkan dapat menghasilkan satu garis panduan yang lebih komprehensif serta mengambil amalan terbaik (best practice) dari negara-negara lain dalam penyelenggaraan dan pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur.

“Ia juga dapat membantu dalam perkongsian data bagi menambah baik sistem pemetaan e-pokok sedia ada di DBKL dalam merekodkan data inventori pokok, daftar pokok berusia, penanaman pokok baru dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dan kini telah pun merekodkan sebanyak 236,551 batang pokok-pokok yang ditanam diseluruh Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha menyedari bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pemaju, swasta, NGO dan komuniti dalam memelihara alam sekitar, perbincangan task force itu juga meneroka konsep “pengangkatan pokok” dan potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan whole-of-nation bagi meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Task force ini juga perlu meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman 1 Juta Pokok di Kuala Lumpur dan memberi perhatian kepada factor-faktor seperti spesis pokok, ruang penanaman pokok, kedalaman akar dan yang lainnya,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang pada 7 Mei lalu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail. – MalaysiaGazette