Amira Aisya Abd Aziz. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (MUDA) menyifatkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan Akta Hasutan sebagai alat untuk menekan suara aktivis.

Pemangku Presiden Muda berkata demikian dengan memuat naik keratan berita dipetik sebagai berkata, aktivis hak asasi manusia di Sabah iaitu Mukmin Nantang dipanggil oleh polis Khamis ini.

Menurut Amira Aisya Abd Aziz, kerajaan sepatutnya memansuhkan akta tersebut seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Dah lebih satu tahun Kerajaan Madani memerintah, Akta Hasutan masih menjadi alat untuk menyiasat dan menekan suara aktivis. Ramai dalam Kabinet Malaysia dahulunya ditindas dengan Akta Hasutan.

“Sepatutnya kamu yang paling empati dengan mangsa akta ini tapi hari ini kerajaan kamu masih pejam mata dengan kekejaman Akta Hasutan. Ini bukan progresif dan perubahan yang dijanjikan.

“Sekarang aktivis masih lagi disiasat bawah Akta Hasutan. Bila mahu embargo dan mansuh akta ini?,” tulisnya menerusi aplikasi X.

Katanya lagi, Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan perpaduan yang sebelum ini pernah terpalit di Bawah akta berkenaan juga tidak bersuara.

“Atau sekurang-kurangnya lah, menteri dan timbalan menteri yang pernah ditindas dengan Akta Hasutan mana suara kamu?,” katanya lagi.

Berdasarkan keratan yang dikongsikan Amira, Mukmin dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Khamis ini.

Mukmin pengasas NGO Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, lantang bersuara mengenai kes pengusiran Bajau Laut di Semporna baru-baru ini.

Sebagai rekod, Anwar pada 25 Oktober 2015 pernah menyatakan komitmennya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 sekiranya menjadi perdana menteri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast