Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Masalah keluarga menjadi penyumbang utama lebih 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Malah, calon SPM yang sudah mendapat pekerjaan juga mendorong mereka tidak mengambil peperiksaan tersebut, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

“Berdasarkan analisis KPM, antara punca ketidakhadiran luar kawalan KPM yang dikenal pasti adalah seperti calon bekerja, masalah keluarga, kemalangan, sakit dan juga faktor-faktor yang lain,” jawab beliau di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan daripada Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin mengetahui apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi isu 10,160 daripada 38,368 calon SPM yang didapati tidak hadir bagi menduduki peperiksaan tersebut.

Katanya, seramai 8,676 calon tidak hadir daripada sekolah KPM manakala 1,263 (calon persendirian), 221 (calon sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta).

Menurut Wong, kategori paling ramai membabitkan calon telah berhenti sekolah iaitu seramai 3,858 orang.

Bagi mengatasinya, Wong berkata,  pihak KPM sentiasa berusaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran mereka ke peperiksaan SPM dengan beberapa intervensi.

Antaranya, dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak-anak ke sekolah.

“KPM memberi peringatan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk memantau kehadiran serta mengoptimumkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid.

“Selain mengetengahkan pempengaruh pendidikan atau Edufluencer
berpakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi berkongsi ilmu dan juga pengalaman,” katanya.

Jelas Kah Woh, KPM juga yakin dengan usaha berterusan dan komitmen semua pihak memastikan peningkatan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM akan dapat membantu mengatasi masalah sedia ada.

Pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 Mei lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada 383,685 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu, hanya 373,525 calon hadir dengan 93.5 peratus daripadanya layak mendapat sijil SPM. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here