Peniaga wanita berusia 50-an itu mendakwa caj tambahan 10 sen bagi setiap pembayaran RM10 menggunakan kod QR ditetapkan pihak bank.

MELAKA – “Kalau nak bayar guna ‘scan’ (imbas kod QR), kena tambah 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan. Kalau RM30 kena caj 30 sen sebab bank suruh bukan saya suka-suka,”.

Itu alasan diberikan peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini apabila disoal wartawan MalaysiaGazette apakah alasan dikenakan caj tambahan 10 sen untuk harga makanan RM3.70.

Peniaga wanita berusia 60-an itu mendakwa, caj pembayaran 10 sen bagi setiap pembayaran RM10 menggunakan kod QR dikenakan terhadap pelanggan itu sejak dia menggunakan sistem bayaran tanpa tunai itu.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati, beberapa pelanggan terkejut apabila turut dikenakan caj serupa.

Rata-rata pelanggan bagaimanapun dilihat akur selepas diberi penjelasan berkenaan.

Seorang pelanggan ketika ditemui berkata, dia terpaksa membayar RM14.20 untuk harga sarapan pagi walaupun harga makanan dinikmati adalah RM14.

“Terkejut juga sebab belum pernah lagi saya makan di kedai lain kena caj tambahan sebegitu walaupun cuma 20 sen. Alasan diberikan caj berkenaan bank yang tetapkan begitu 10 sen bagi setiap RM10.

“Tiada notis makluman ditampal dan saya hanya mengetahui caj itu ketika hendak membuat pembayaran membuatkan rasa teraniaya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here