Noor Aliza Hamin berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

SHAH ALAM – Pembantu tadbir Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan menerima rasuah sebanyak RM7,880 sebagai dorongan  memproses permohonan pecah tanah dalam geran seorang individu.

Tertuduh, Noor Aliza Hamin yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 46 tahun itu didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM3,700 dan RM4,180 daripada Ahmad Hanafi Mohamed pada 19 Mei dan 19 September 2022  sebagai dorongan  memproses permohonan lelaki itu bagi proses pecah bahagian tanah atas geran mukim bernombor GM1539 Lot 2334.

Beliau didakwa menerima suapan  di  CIMB Cawangan Sungai Besar, yang mana kesalahan berkenaan tertakluk di bawah   seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan RM10,000 sebagai jumlah jaminan.

Noor Aliza turut diperintah mematuhi tiga syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dengan kediamannya sekali sebulan dan tidak boleh menganggu saksi pendakwaan.

Terdahulu Pegawai pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman memohon jumlah jaminan yang sama seperti yang telah ditetapkan mahkamah.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih dua puluh tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang diterima.

Sementara itu, mahkamah menetapkan  30 Julai sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes.- MalaysiaGazette