Empat mangsa remaja bawah umur yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang haram memproses logam di Klang berjaya diserbu dan diselamatkan oleh polis petang hari ini. Ihsan Unit ATIPSOM JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Peningkatan kedudukan Malaysia yang telah dinaikkan ke Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 yang diumumkan baru-baru ini tidak datang dengan mudah.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkata, pencapaian ini adalah hasil usaha membina pelbagai pihak berkepentingan termasuk
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan menterinya, Stevan Sim serta Kementerian Dalam Negari (KDN) yang telah memberikan komitmen yang bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, KDN dan Kesuma telah memainkan peranan yang cukup penting, bermakna dan konsisten dalam membawa
penambahbaikan dalam isu yang diperkatakan ini.

Misalya, pada tahun lalu, Kesuma sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh telah mengatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KDN dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa.

Apa yang penting, kedudukan Malaysia telah bertambah baik, yang pertama kali direkodkan selepas tujuh tahun.

“UNI-MLC amat yakin bahawa usaha yang bersepadu dan menyeluruh akan diteruskan untuk membuktikan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal pemerdagangan orang. Sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia senantiasa mengambil tindakan-tindakan tegas lagi proaktif bagi memastikan isu pemerdagangan
orang ditangani secara menyeluruh dan efektif,” katanya.

Dalam laporan terbaharu Malaysia menyaksikan peningkatan positif Malaysia ke Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan JNAS.

Untuk rekod, bagi penilaian terdahulu, Malaysia pernah disenaraikan sebagai kedudukan Tahap 2 watchlist (senarai pengawasan) pada tahun 2017.

UNI-MLC amat yakin dengan komitmen KDN dan Kesuma serta agensi-agensi lain yang berkaitan akan membawa rekod pencapaian yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang.

“Dalam hal ini, kerjasama semua pihak amatlah penting demi memastikan Malaysia bebas daripada jenayah pemerdagangan orang selaras dengan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang diterima pakai oleh Malaysia, termasuk Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” ujarnya sambal menyatakan kesediaan untuk berganding dan memberi kerjasama padu kepada kedua-dua kementerian itu untuk menangani isu pemerdagangan orang dan seterusnya memperbaiki kedudukan Malaysia melalui pendekatan menyeluruh. – MalaysiaGazette