NIBONG TEBAL – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memilih calon yang berpengetahuan dan berwatak untuk memimpin kawasan tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 6 Julai ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, mesej itu perlu sampai kepada penduduk Sungai Bakap untuk menampilkan calon yang mempunyai kredibiliti tinggi.
“Kepada semua pengundi Sungai Bakap, calon yang kita tampilkan ini (Joohari, Pakatan Harapan) bukan calang-calang dan mesej calon (Joohari) yang baik, berotak (berpengetahuan) dan watak ini kena sampai kepada masyarakat.
“Kredibiliti yang ditonjolkan Joohari serta pengalaman urus pendidikan melebihi 30 tahun, bukti beliau mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saya sebagai Menteri Pendidikan risau, kalau calon ini terus dipertikaikan kerana kita sedang membina generasi yang benar-benar mengangkat isu pendidikan ini sebagai isu yang penting,” katanya ketika berucap pada ceramah Perpaduan di Taman Jawi Indah di sini, malam tadi.
Justeru, Fadhlina optimis masyarakat setempat akan memilih calon Pakatan Harapan yang berkompetensi tinggi itu.
“Ini kerana masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin Sungai Bakap kearah lebih baik merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette