Stuart Ramalingam

PUTRAJAYA – Pasukan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dijatuhkan empat bentuk hukuman susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata, skuad Gergasi Merah mempunyai tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.

Beliau berkata, jumlah hukuman terhadap Selangor yang diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL juga mungkin akan dikurangkan berdasarkan pertimbangan badan rayuan MFL.

“Badan rayuan akan meneliti semua dokumen berkaitan dan bersidang selama dua hingga tiga minggu sekiranya Selangor memutuskan untuk mengeluarkan surat rayuan,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan (NCT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Semalam, MFL dalam satu kenyataan memaklumkan Selangor FC  dihukum antara lain didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Mereka juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak serta perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, Selangor dalam satu kenyataan malam tadi sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya.

Selangor menjelaskan mereka memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma  dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Sekiranya naib juara Liga Super 2023 itu mahu mencari alternatif lain termasuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Sivik dan Mahkamah Timbang Tara Sukan, Stuart berkata mereka perlu menjalani proses perundangan termasuk rayuan kepada MFL terlebih dahulu sebelum membuat tindakan sedemikian.

Ditanya mengenai tindakan MFL mengenakan hukuman bermain tanpa penonton, Stuart berkata tindakan tersebut diputuskan pihaknya memandangkan JDT tidak memperoleh hasil komersial pada perlawanan Sumbangsih tersebut.

“Bagi mereka (Ahli Lembaga Pengarah MFL), perlawanan timbal balik tidak sepatutnya mempunyai apa-apa keuntungan untuk pasukan yang bertanding dan ia juga adalah berkaitan komersial. Satu pasukan tidak memperoleh keuntungan daripada tidak menghadiri satu perlawanan tetapi mendapat keuntungan dari perlawanan timbal balik, itu adalah pandangan ahli lembaga,” katanya. – BERNAMA

Selangor FC teliti tindakan lanjut susulan didenda RM100,000

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here