Datuk Seri Shahril Mokhtar. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan beliau sudah meletakkan semua jawatannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC berkata, surat peletakan jawatan sudah diserahkan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Noor Azman Rahman.

“Saya secara rasmi sudah meletakkan semua jawatan di FAM dengan serta-merta. Surat peletakan jawatan berkenaan sudah diserahkan kepada Datuk Presiden dan juga Setiausaha Agung tengahari tadi,” katanya menerusi kiriman kepada media.

Shahril adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM selain turut diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM dan pengurus skuad bawah 23 tahun negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci punca beliau membuat keputusan meletak jawatan.

Namun ia dipercayai ada kaitan dengan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.

Susulan hukuman yang dikenakan itu, Selangor FC sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah kenyataan, hari ini menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan yang dibuat MFL itu. – MalaysiaGazette