KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan harga beras global dan polisi pengeksport yang yang membataskan eksport beras ke luar negara menyebabkan negara ini masih kekurangan bekalan bahan makanan tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan ini mengakibatkan peningkatan harga beras putih import (BPI) dan menyaksikan lonjakan permintaan beras putih tempatan (BPT) memandangkan harganya yang murah dan dikawal pada RM26 per 10 kilogram.
“Pengeluaran beras negara pada masa ini adalah pada kadar sara diri (SSR) 62% dan sudah pasti jumlah ini tidak dapat menampung keperluan domestik,” katanya menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).
Ahli Parlimen pembangkang itu mahu kerajaan memperincikan apakah yang menyebabkan ramai penduduk mengadu beras tempatan tidak diperoleh di kedai yang mereka lazimi dan berapa premis, peniaga, pemborong yang ditangkap dan dikenakan hukuman kerana menyorok beras tempatan.
Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, kemerosotan kadar tukaran Ringgit Malaysia (RM) berbanding dengan Dolar Amerika (USD) turut meyumbang kepada kekurangan bekalan BPT negara.
Malah faktor ketidaktentuan cuaca seperti kemarau berpanjangan dan masalah penyakit padi menyumbang kepada penurunan pengeluaran beras negara yang signifikan.
“Melihat kepada situasi ini, Kementerian telahpun mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelbagai langkah intervensi untuk memastikan penduduk mempunyai akses kepada BPT.
“Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT), Operasi Jamin (OP JAMIN), Arahan Had Pembelian Maksimum kepada pembeli bagi setiap beras putih tempatan dan Program Khas Beras Putih Tempatan masih diteruskan dan pengedaran BPT dipergiat melalui pelbagai platform seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta jualan Agro Madani dan langkah intervensi ini dipantau oleh Kementerian melalui Kawalselia Padi Beras (KPB), KPKM,” jawab Mohamad lagi.
Tambah Mohamad lagi, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 19 Mac lalu telah bersetuju agar semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan metrik diproses
dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
Malah pengedaran BPT diluaskan melalui Jualan Agro Madani oleh FAMA dan LPP dan semua kontrak Kerajaan menggunakan sepenuhnya beras BPI. – MalaysiaGazette