KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah yang murka atas keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, titah sultan itu turut menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa serta melampaui batas.
Katanya, keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri Faisal Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanahair.
Tambah Amirudin, mengambil iktibar dan pedoman titah Sultan Sharafudin satu usaha akan dilakukan bagi mengutip dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL terhadap Selangor FC.
“Saya telah berbincang dengan Exco Sukan Negeri Selangor dan kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama yang memberikan peluang kepada semua pihak termasuk para peminat Merah Kuning bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL.
“Maklumat lanjut usaha ini akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dan Exco Sukan Negeri.
“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” katanya dalam kenyataan.
Sultan Sharafuddin hari ini menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.
Baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sultan Selangor murka keputusan MFL melampau, kecewa dengan Hamidin