Rentas Sempadan Antarabangsa: UTeM Perluas Kerjasama Penerbitan di China.

MELAKA – Penerbitan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melangkaui sempadan antarabangsa dengan membuka peluang kerjasama penerbitan buku ilmiah di Beijing, China.

Ia menerusi penyertaan institusi itu dalam Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2024 yang berlangsung pada 19 hingga 23 Jun 2024.

Delegasi UTeM yang diketuai Naib Canselornya, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin hadir ke pesta buku berkenaan bagi menjayakan majlis peluncuran karya beliau yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Pavilion Malaysia di China National Convention Center, Beijing.

Buku berjudul ‘Tips and Tricks in Writing a Research Proposal’ hasil karya Massila dan Pensyarah Kanan UTeM, Dr. Cheong Kar Mee itu dilihat berpotensi dikembangkan ke China kerana diterbitkan dalam dwibahasa, Inggeris dan Mandarin.

Menurut Massila, buku berkenaan digarap dengan teliti bagi memberikan panduan dan membantu para pelajar sarjana dalam menyediakan kertas cadangan akademik yang terbaik.

Menariknya, delegasi UTeM turut diundang menghadiri sesi perbincangan kerjasama penerbitan dengan Beijing Normal University bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) serta melawat beberapa penerbit buku ilmiah terkemuka di Beijing.

Dalam perkembangan yang sama, UTeM turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila enam judul terbitan Penerbit UTeM terpilih dan mendapat tempat dalam ruangan pameran khas bagi Projek Khas China: 200 Tajuk untuk Perolehan Perpustakaan Universiti di BIBF 2024.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UTeM, Dr Ruziah Ali menzahirkan kesyukuran kerana penerbitan UTeM berjaya tersenarai dan terpilih bagi Projek Khas China: 200 Tajuk untuk Perolehan Perpustakaan Universiti di Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2024.

“Pencapaian ini menggambarkan penerbitan UTeM terus merentas sempadan dunia Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Termaju dengan penuh keperkasaan sekaligus turut bersama menjayakan sebahagian visi dan misi UTeM dalam konteks penerbitan,” katanya.

UTeM adalah antara 60 agensi mewakili delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam BIBF tahun ini yang diketuai oleh MBKM yang mana objektif utamanya adalah untuk memperkenalkan dan mengangkat karya tempatan ke persada antarabangsa. – MalaysiaGazette

Turut mengambil bahagian adalah penerbit-penerbit universiti awam, penerbit swasta dan pemain industri penerbitan tanah air.