Lokasi wanita diseret dua peragut bermotosikal.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang disyaki meragut seorang wanita hingga terseret di tepi jalan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) semalam berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat  sekitar 1.30 hingga 3 pagi hari ini di sekitar kawasan Klang.

Turut dirampas barang kes termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian bersama kad bank dan lesen memandu mangsa.

Menurut Mohd Iqbal, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua peragut yang merupakan warganegara tempatan positif dadah jenis methamphetamine.

“Tangkapan berumur 33 tahun bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala seorang lagi tangkapan berumur 32 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan juga mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam tular di media sosial, memaparkan seorang wanita diragut hingga terseret oleh dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal di tepi jalan Lebuh Raya KESAS susur keluar ke arah Kota Kemuning, Shah Alam.

Kejadian berlaku 7 pagi apabila mangsa berusia 58 tahun itu berhenti di tepi jalan kerana kereta mengalami kerosakan.

Kedua-dua saspek pada mulanya berhenti di sebelah kereta mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu dalam masa yang sama menawarkan diri untuk membantu.

Kemudian secara tiba-tiba salah seorang suspek bertindak mengambil dompet mangsa yang berada dalam beg silang yang dipegang mangsa.

Mangsa kemudian bertindak menangkap tangan salah seorang suspek yang memboceng motosikal namun tindakannya mengakibatkannya terseret di atas jalan raya sehingga cedera.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan kaki sebelah kiri dirawat di  Hospital Shah Alam.

Akibat kejadian berkenaan, wanita itu mengalami kerugian sebanyak RM500.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabitkan dengan kesalahan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Mohamad Zulkifli Bin Mohamad ditalian 01116958529.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here