Keadaan pokok besar tumbang akibat hujan lebat bersebelahan bangunan Menara Prestige, Jalan Pulau Pinang, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 13 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 173 pokok telah ditebang kerana berisiko tinggi manakala 1,488 pokok berusia di sekitar ibu kota yang diperiksa sejak 2019 hingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, penilaian itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi lantikan 21 kontraktor bagi kerja penyelenggaraan selain pemeriksaan berterusan akan dilakukan terhadap pokok-pokok berusia.

“Bagi mencerminkan komitmen DBKL, sebanyak 21 kontraktor telah dilantik bermula 15 Jun 2024 bagi penyelenggaraan pokok rendang secara berkala dan setiap kontraktor perlu menyediakan seorang arboris, iaitu individu yang pakar dalam pemeriksaan pokok, untuk menilai tahap kesihatan dan tindakan mitigasi ke atas pokok,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan (Pakatan Harapan).

Zahir bertanyakan tentang tindakan untuk memastikan pokok di bawah seliaan DBKL dan premis persendirian mematuhi garis panduan untuk mengelakkan ancaman bahaya kepada orang awam.

Mengulas lanjut Zaliha berkata, sejak Januari sehingga Jun kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan ke atas 22,283 batang pokok.

Sementara itu, sebanyak 54 surat pemberitahuan pokok berisiko dikeluarkan di premis persendirian.

Terdahulu katanya, sebanyak 14 kematian disebabkan pokok tumbang yang mana sembilan cederaan dan lima maut akibat pokok tumbang untuk tempoh 2017 hingga tahun ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here