Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – BRICS (blok ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) merupakan landasan bagi memastikan tiada satu kuasa besar menguasai dunia.

Sebaliknya menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, BRICS merupakan gabungan yang tepat untuk negara-negara besar bersama-sama membangun daripada sudut ekonomi.

Katanya, dalam masa yang sama BRICS dapat membuka peluang Malaysia bersuara di pentas antarabangsa.

“BRICS merupakan satu asas landasan untuk kita melihat bahawa dunia ini jangan terlalu condong diurus oleh satu pihak sahaja.

“Maka BRICS satu gabungan negara besar kita memasuki blok yang longgar boleh membawa suara kita, boleh bawa suara dunia ini yang kita nak lakukan, agar Malaysia boleh bersuara di banyak pentas, BRICS merupakan satu pentas yang besar,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, dunia kini dilihat memasuki era perang dingin yang mana negara besar secara tidak langsung mahu melihat pihak mana yang menyebelahinya menerusi kuasa atau pengaruhnya.

“Kita mahu masuk BRICS kerana longgar ia bukan aspek pertahanan dan keselamatan tapi untuk pastikan tidak ada satu kuasa besar yang menguasai dunia. Kita tidak mahu itu berlaku.

“Nampak kita sekarang ini masuk ke era perang dingin, sama ada kamu menyebelahi negara itu atau tidak ini tidak boleh,” katanya lagi,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia memulakan prosedur rasmi untuk menyertai BRICS.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China.

Afrika Selatan menyertai kumpulan ini pada 2010 manakala Rusia mengambil alih jawatan presiden pada 1 Januari.

Gabungan tersebut kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast