Salah satu bot yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tawau. - Foto APMM

KUALA LUMPUR – Dua buah bot tempatan telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mariti Tawau bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di dua lokasi berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam OP MARDOF 1/2024 dan OP SEJAHTERA.

Terdahulu, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Merotai pukul 11.00 pagi.

“Bot yang ditahan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Sungai Merotai itu mendapati, seorang juragan bot berumur 27 tahun melalui akuan mulut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Manakala pemeriksaan dokumentasi ke atas bot tanpa nombor pendaftaran itu juga tidak mempunyai lesen bot dan juragan gagal mengemukakan lesen perikanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Antara awak-awak warga Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia. – Foto APMM

Tambah Shahrizan, pada 4.10 petang hari sama, sebuah lagi bot nelayan yang menjalankan aktiviti pukat turut ditahan di lokasi  5.5 batu nautika tenggara Apas Parit.

“Pemeriksaan mendapati seorang juragan lelaki bersama empat awak-awak warga Indonesia berumur di antara 45 dan 57 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen kerana nama juragan tidak didaftarkan di dalam lesen.

“Kedua-dua bot terbabit bersama muatan serta kesemua kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat dibawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1965 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Tambah Shahrizan, kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan akan disita sehingga proses siastaan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM100,000.

OP MARDOF yang dijalankan bersama DOF dilancarkan bermula 25 Jun ingga 28 Jun membabitkan empat fasa di seluruh perairan Sabah.

“Ia bagi tujuan penguatkuasaan dan pendedahan kepada wakil DOF serta membangkitkan kesedaran kepada komuniti nelayan.

“Misi ini juga bertujuan membanteras kegiatan yang melanggar  Akta Perikanan 1965 dan Akta APMM dalam perairan Zon Maritim Malaysia demi memelihara keamanan dan kesejahteraan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here