Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim hadir bagi pendengaran saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.

Untuk makluman, Mohd Azizi memohon menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan selain memohon perisytiharan beliau masih lagi penyandang.

Menurut peguam mewakili parti Bersatu, Chetan Jethwani, mahkamah mendapati Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu dan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki oleh pemohon.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain dalam kamar petang tadi.

Dengan keputusan ini maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang dijadualkan esok bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Dalam saman pemula Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Mohd Azizi menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR sebagai defendan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga memohon pengisytiharan surat makluman Mohd Amar kepada SPR bahawa pengosongan kerusi itu digantung pelaksanaannya.

Beliau juga mendakwa surat itu tidak sah dan terbatal selain menuduh tindakan pemecatan itu berniat jahat oleh parti Bersatu. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here