Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Pengguguran pelaburan Blackrock berisiko mendatangkan implikasi dan kesan negative terhadap usaha merealisasikan agenda pelaburan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, firma pelaburan global itu kini memiliki pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat yang tersenarai di Malaysia membabitkan nilai aset keseluruhan RM27.5 bilion.

Menurut beliau, jumlah itu membabitkan nilai RM20.5 bilion di Bursa Malaysia dan RM7 bilion lagi dalam bon kerajaan dan syarikat korporat.

“BlackRock sudah ada di Malaysia sejak 1990-an. Setakat Mei lalu, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia, merangkumi sektor industri, dengan tiga. Entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini.

“Kalau ada pengguguran pelaburan Blackrock dari Malaysia, jelas sekali akan mendatangkan kesan negatif untuk merealisasikan agenda pelaburan negara,” katanya ketika sisi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkaitan jumlah pelaburan Blackrock atau syarikat yang kaitan dengannya dalam Malaysia.

Kata Zafrul, setakat 31 Mac tahun ini dilaporkan aset di bawah pengurusan BlackRock bernilai RM49.35 trilion dan syarikat itu turut memegang saham hampir semua syarikat senaraian awam di seluruh dunia dan dana berdaulat di negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Bahrain dan Indonesia.

Di antara pelaburan BlackRock di dalam pasaran bon terbitan kerajaan pula adalah Malaysia Sukuk Global Berhad; Export-Import Bank of Malaysia Berhad; Malaysia Wakala Sukuk Berhad; Petroliam Nasional Berhad serta Malaysia Sovereign Sukuk Berhad.

“BlackRock turut mempunyai kepentingan pelaburan di dalam Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM8.6 juta, Metal Aluminium sebanyak RM625 juta dan CelcomDigi sebanyak RM526 juta,” tambah beliau.

Selain itu katanya, BlackRock juga memiliki saham beberapa syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments.

Syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments yang mempunyai pemilikan saham BlackRock menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal & elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur serta subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg ko gatal duk offer kpd Blackrock airport Malaysia dah kenapa? Selama ni aiport ok jaa tanpa Blackrock. Singapore Airport antara yg terbaik di dunia pun tak melibatkan Blackrock

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here