NIBONG TEBAL – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik jika mengikut segala kehendak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, ia susulan permintaan BERSIH itu terlalu ‘ideal’ sehinggakan tiada seorang menteri pun dapat membuat apa-apa pengumuman peruntukan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Pada pandangan saya yang sudah lihat pilihan raya sejak 1990-an, apa yang diminta BERSIH itu adalah sesuatu yang terlalu ideal.
“Ini disebabkan jika kita ingin mengikut segala kehendak BERSIH kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik selama dua minggu apabila PRK berlangsung sedangkan kita tidak tahu berapa kali lagi akan berlaku PRK.
“Pada hari Isnin Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) mengumumkan bahawa RM10 billion subsidi diesel masih diteruskan di Dewan Rakyat tapi kesannya mesti sampai di Sungai Bakap bukan..Jadi kalau ikut BERSIH pengumuman itu tidak boleh dibuat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Halan yang menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekutun FT1 dalam daerah Seberang Perai Selatan di sini.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, tiada mana-mana pihak mampu menjangkakan bila PRK berlangsung dan tempoh dua minggu tidak praktikal untuk kerajaan tidak mengumumkan sebarang peruntukan.
“Macam mana kerajaan boleh berfungsi jika setiap dua minggu ada PRK..Kita kali ini sudah berapa banyak PRK, bermula dengan PRK Tioman, Simpang Jeram, Pulai, Kemaman dan Kuala Kubu Bharu dan terbaru di Sungai Bakap.
“Takkan setiap kali dua minggu itu kerajaan tak boleh pengumuman apa-apa, menteri tak boleh buat kerja menteri..itu maksud saya lah..we do respect to BERISH (kita hormati) tapi saya berceritakan tentang aspek yang praktikal.
Media semalam melaporkan BERSIH mengecam kenyataan Ahmad kerana mendakwa penganjuran program dan pengumuman peruntukan oleh kementerian atau menteri ketika PRK bukanlah menjadi satu kesalahan.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dilaporkan berkata, tindakan menggunakan sumber dan jentera kerajaan semasa berkempen adalah bertentangan dengan amalan baik pilihan raya di peringkat antarabangsa termasuk Perkara 4(1) Deklarasi Inter-Parliamentary Union (IPU).
Sehubungan itu, menggesa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama Pakatan Harapan (PH) mengotakan janji dan reformasi yang dilaungkan selama lebih dua dekad sebelum ini.
Terdahulu, Ahmad dalam satu ceramah pada 24 Jun lalu berkata, tidak menjadi kesalahan untuk menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan ketika PRK kerana menteri berada di program berkaitan berdasarkan kapasiti sebagai menteri dan ‘kebetulan’ ada pilihan raya.
Beliau berkata walaupun perkara seperti itu telah dibawa ke mahkamah, keputusan tidak pernah menyebelahi parti pembangkang yang membangkitkannya. – MalaysiaGazette