KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung minggu ketiga bulan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, ia bakal menamatkan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway) dan program Sarjana Perubatan.
“Draf telah diberikan ke Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah buat semakan draf sepenuhnya. Kita adakan beberapa libat urus lagi untuk kita bentangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan kali terakhir sebelum Dewan Rakyat melihat ia dibentangkan pada hujung minggu ketiga supaya dapat kita bahaskan pada minggu ke empat dan luluskan.
“Umum menantikan, rakyat menantikan ketidakaturan parallel pathway dan program sarjana perubatan dengan ini akan dapat kita murnikan dan kita tangani,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri i Dewan Rakyat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) bertanya sama ada KKM akan mempertimbangkan cadangan supaya RUU tersebut ditangguhkan dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.
Sebelum ini, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dilaporkan menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf susulan penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.
Sehubungan itu, terdapat cadangan supaya empat pakar itu diterima untuk melalui latihan khusus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai universiti pertama menawarkan program kepakaran perubatan dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang pembedahan kardiotorasik.
Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, pindaan akta berkenaan juga dalam masa sama akan memastikan 120 latihan dan 14 program melalui parallel pathway dapat diseragamkan.-MalaysiaGazette