Shariffa Sabrina Syed Akil

KUALA LUMPUR – Aktivis, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa tiga pertuduhan terhadapnya iaitu menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran adalah tidak benar dan berniat jahat (mala fide).

Dalam notis usul untuk menggugurkan tiga pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Raub, kata Shariffa yang juga Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka), pertuduhan itu cacat kerana melanggar Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Dakwa beliau dalam notis itu, pihak pendakwaan sudah mengetahui tentang status berkaitan Tanah Aina yang dikatakan telah diduduki secara tidak sah.

“Pendakwaan telah gagal mempertimbangkan bahawa Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum ini telah membatalkan keputusan pejabat daerah dan tanah Raub (bertarikh 17 Feb 2022) yang menolak permohonan Tanah Aina menduduki tanah sementara itu.

“Mereka (pendakwaan) mempunyai pengetahuan bahawa permohonan dan kelulusan terdahulu bagi lesen pendudukan sementara adalah dipohon dan diluluskan di atas nama Tanah Aina Sdn Bhd dan bukan olehnya.

“Ini pertuduhan cacat kerana seksyen 428AA KTN jelas menyatakan bahawa sekiranya suatu kesalahan dilakukan oleh sesebuah syarikat, syarikat tersebut seharusnya dituduh dan bukannya pengarah syarikat sahaja,” katanya.

Pada 15 Mac 2022, Shariffa dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub terhadap tiga pertuduhan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di atas tiga lot tanah di daerah itu yang telah dilakukan setahun sebelum itu.

Tanah itu dijadikan resort dan untuk aktiviti perniagaan oleh Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Shariffa telah memohon supaya tiga pertuduhan jenayah itu digantung secara kekal yang jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 425(1)(a) KTN memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here