Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 SEPTEMBER 2023

KUALA LUMPUR – Demi menuntut peruntukan kawasan pembangkang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan berlari sejauh 200 kilometer (km) daripada Muar ke Parlimen bermula esok.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, larian yang dinamakannya sebagai ‘Langkah Muar’ sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.

“Semalam saya telah mengeluarkan satu video pendek berkenaan niat saya untuk berlari sejauh 200 km sebagai protes untuk menghantar isyarat yang jelas kepada ketidakadilan yang sedang berlaku dalam kalangan kawasan Parlimen pembangkang.

“Ini bukanlah perkara baharu ini yang dimasukkan dalam manifesto kerajaan sendiri apabila mereka bertanding pada pilihan raya yang lepas untuk memberikan peruntukan adil dan saksama kepada ahli Parlimen. Ini bukan tuntutan kami tapi untuk rakyat susah juga,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Syed Saddiq juga akan menyerahkan memorandum  setelah selesai larian marathon itu untuk disampaikan kepada wakil kerajaan dan ahli Parlimen lain.

Jelasnya, memorandum tersebut merupakan cadangan untuk memastikan Akta Parlimen yang diinstitusikan dilakanakan secara adil.

“Supaya tidak kira dalam kerajaan atau pembangkang rakyat susah dan peruntukan adil diberikan tidak ada diskriminasi faktor politik,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Syed Saddiq turut melancarkan misi meraih dana bagi Pusat Khidmat Muar menerusi larian tersebut.

Beliau berkata, dana sekurang-kurangnya RM100,000 diperlukan demi memastikan pusat tersebut dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.

“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri.

“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya.

Terdahulu Syed Saddiq  telah menghantar tiga surat bagi menyatakan kesediaannya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun sehingga kini tiada maklum balas yang diberikan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sejak sidang Parlimen tahun lepas beliau maklumkan beliau akan dan adil pastikan MoU dimuktamadkan. Selepas itu saya terus mulakan proses rundingan saya maklumkan niat saya tanda tangan MoU dalam masa yang sama tidak menidakkan peranan pembangkang.

“Sambil itu kita juga pastikan ada juga kestabilan dalam politik, masuk rundingan kali kedua tidak ada perkembangan,” jelasnya.-MalaysiaGazette