Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas sesi minum petang bersama penduduk tempatan di Sungai Bakap, Pulau Pinang, Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia meletakkan calonnya untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 17 Ogos depan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu sudah dibuat sebelum ini memandangkan kerusi tersebut milik Bersatu.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya akan mengenal pasti calon yang paling sesuai untuk mewakili parti bagi kerusi DUN tersebut.

“Setakat ini kesiapsiagaan kita dari segi menggerakkan jentera di peringkat bawah telah dimulakan.

“Malah, apabila SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengumumkan tarikh untuk mengadakan PRK kerja-kerja lain, kita akan mula susun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menyantuni orang ramai dalam usaha membantu kempen calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail di Unit Daerah Mengundi Puteri Gunung di Simpang Ampat di sini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi PN menegaskan, pihaknya tidak boleh mengambil mudah PRK Nenggiri walaupun ia berlangsung di Kelantan.

“Nampaknya walaupun ia (PRK) di Kelantan dan sokongan yang lepas pun agak baik, kita juga tak boleh ambil mudah.

“Ini adalah satu by-election (PRK) jadi mungkin pihak lain pun akan turun bekerja untuk memenangkan calon mereka. Tapi bagi kita, kita sudah bersedia. Insya-Allah,” katanya.

Hari ini, SPR menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43, Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu. – MalaysiaGazette

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos, penamaan calon 3 Ogos

1 Komen

  1. Maihidin yang menyebabkan Najib Razak dipenjara kerana masa DS Sabri jad PM .Maihidin yang menekan supaya mempercayai semua muslihat bahawa DSNR bersalah.
    Bila tengok muka maihidin seumpama tengok Joe Bidin .
    Seorang kepimpinan dalam PN juga terlibat sebagai peguambela kpd penjenayah dar rejim zionist Isreal..
    harap pengundi semua sedar bahawa siapa sebenarnya PN

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here