Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada media berkenaan sesi ramah mesra bersama penduduk tempatan di Pasar Malam Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan, Dr. Joohari Ariffin memaksimumkan waktu kempennya untuk menyantuni pengundi meskipun hanya terpaksa tidur tiga jam sehari.

Beliau yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara berkata, sekurang-kurangnya 12 program kempen termasuk ceramah diaturkan parti bersama jentera untuk disertainya setiap hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan jadual padat itu memberikan satu kepuasan kepada dirinya kerana pertemuan tersebut mampu melahirkan  rasa kepercayaan kepada pengundi.

“Bermula dari hari penamaan calon sehingga kini yang memasuki hari ketujuh, biasanya rutin kempen bermula selepas solat Subuh.

“Saya turut mengambil sedikit ‘supplement’ untuk menjaga kesihatan, stamina agar kekal bertenaga sepanjang kempen.

“Apa yang boleh saya gambarkan setakat ini suasana kempen dan penerimaan pengundi sangat positif malah, saya percaya kalau momentum ini berterusan kita akan dapat mncapai kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, tempoh kempen yang masih berbaki seminggu lagi akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here