KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat M81-11, Agusta A109 LOH, milik Tentera Darat Malaysia (TDM) melakukan pendaratan kecemasan di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang, Johor awal pagi ini semasa melakukan latihan penerbangan malam.
Menurut TDM, dalam insiden ini jam 1.35 pagi itu terdapat krew yang mengalami kecederaan dan mereka telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan lanjut dan mereka berada dalam keadaan stabil.
“Insiden ini melibatkan tiga anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus dan seorang krew kuatermaster.
“Kesemua krew yang terlibat dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, hari ini.
Sementara itu, TDM melaksanakan Henti Terbang Sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan.
Menurut kenyataan itu, retifikasi dan one-time inspection akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.
Dalam masa yang sama, katanya satu Lembaga Siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
TDM meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal diberikan kesembuhan. – MalaysiaGazette