Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE, 25 JUN 2024.

Pada 23 Jun lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, selepas berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin, menyatakan jika boleh perjanjian pelaburan oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak diteruskan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Pada masa yang sama, Mohamad Hasan menjelaskan bahawa transaksi perjanjian pelaburan itu sudah terlampau maju manakala keputusan mengenainya pula bukan dibuat di peringkat Kabinet tetapi di peringkat pengurusan Khazanah, oleh itu walaupun berharap agar ia tidak diteruskan Mohamad sendiri menegaskan beliau tidak tahu sama ada ia akan diteruskan ataupun tidak.

Nada sama sebelumnya disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh, yang mendesak kerajaan menghentikan serta-merta usaha penjualan saham MAHB kepada BlackRock melalui GIP atas nama solidariti bersama rakyat Palestin kerana sokongan kuat BlackRock ke atas rejim zionis Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam di Palestin.

Muhamad Akmal berkata, MAHB tidak akan gulung tikar dan berdepan risiko muflis sekiranya tidak mendapat bantuan daripada BlackRock kerana ada banyak lagi syarikat di luar yang ada kepakaran yang boleh membantu MAHB. Tambah beliau, menteri-menteri dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga bersuara menolak BlackRock dalam mesyuarat parti itu.

Mohamad Hasan, sebagai Menteri Luar Negara, adalah suara rasmi Kerajaan Malaysia dalam pelbagai wadah forum, mesyuarat dan persidangan antarabangsa yang berkait dengan isu kekejaman rejim zionis Israel ke atas umat Islam di Palestin. Beliaulah yang berhadapan dengan wakil-wakil negara luar dan media-media antarabangsa bagi menyatakan pendirian Malaysia.

Dalam persidangan bertemakan “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” di Jordan pada 11 Jun, Mohamad Hasan menyatakan Kerajaan Malaysia, dengan kerjasama lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, telah menghantar lebih lima ribu tan bantuan penting ke Gaza serta akan meneruskan sokongan kemanusiaan ini bersama-sama rakan-rakan lain.

Penegasan Mohamad Hasan yang seterusnya adalah berbunyi: “Konflik di Gaza telah berlarutan terlalu lama. Hanya melalui usaha bersama antarabangsa, kita dapat menyelamatkan Gaza. Biarlah impian kita untuk Palestin yang bebas hidup melangkaui hari ini, dan melangkaui kata-kata yang kita ucapkan.” Penegasan ini telah mendapat tepukan gemuruh daripada peserta persidangan.

Pada 20 Jun, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (Office of the High Commissioner for Human Rights, OHCHR) mengeluarkan satu kenyataan oleh Prosedur Khas, iaitu badan pakar bebas terbesar dalam sistem Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi Pelapor Khas, Pakar Bebas dan Kumpulan Kerja mengenai isu Palestin ini.

Badan pakar bebas PBB ini mewajibkan negara-negara dan syarikat-syarikat pengeluar senjata menghentikan pemindahan senjata ke Israel dengan segera atau berisiko terlibat dalam jenayah antarabangsa, khasnya setelah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk pemimpin Israel atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Turut digesa untuk bertanggungjawab adalah institusi-institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata ini di mana antara pelabur-pelabur terbesar yang dinamakan adalah Alfried Krupp von Bohlen und Halbach-Stiftung, Amundi Asset Management, Bank of America, BlackRock, Capital Group, Causeway Capital Management dan Citigroup.

Badan pakar bebas PBB ini secara jelas menamakan BlackRock sebagai institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel. Secara tersiratnya, negara-negara anggota PBB diminta memberikan tekanan kepada pihak yang terlibat dalam membantu Israel, termasuk BlackRock, supaya berhenti berbuat demikian.

Oleh itu, Malaysia sebagai negara anggota PBB yang paling lantang bersuara mengecam tindakan rejim zionis Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam di Palestin juga harus mematuhi arahan OHCHR ini dengan segera memberitahu BlackRock bahawa ia bukan rakan kongsi yang dialu-alukan dalam pemilikan dan pengendalian lapangan terbang kita.

Kenyataan OHCHR ini telah disambut oleh 22 NGO Malaysia setakat ini. Antaranya ialah BDS Malaysia, Palestinian Progressive Association Malaysia PPA-M, KDMRS Muslim, Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN), Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia, Centhra Malaysia dan Friends of Palestine (FoP).

Selainnya ialah Quds Foundation Malaysia (QFM), Persatuan Academia IKRAM Malaysia, Persatuan Cakna Palestin Malaysia, SEJAGAT, Muslim Care Malaysia, Palestinian Forum Malaysia, HALUAN, Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA), ⁠Viva Palestina Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia, Yayasan Amal Malaysia dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia (KUMS), IKRAM dan MAPIM.

Kesemua NGO ini bersatu hati mengeluarkan satu kenyataan pada 24 Jun lalu bagi menggesa Perdana Menteri untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Blackrock dan menolak penglibatan Blackrock di dalam pemilikan MAHB iaitu sebuah aset strategik negara, sekaligus menjunjung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan tadbir urus beretika.

Ada dihujahkan bahawa BlackRock telah sekian lama wujud di dalam pasaran modal Malaysia melalui saham-saham dan bon-bonnya dalam pelbagai syarikat, tetapi semua perlu sedar bahawa saham-saham dan bon-bon ini dibeli di pasaran terbuka, nilai pegangan BlackRock dalam pelbagai syarikat ini juga adalah kecil, bukan secara runding terus ke atas aset strategik negara.

Ada juga dibandingkan konsistensi kita dalam meminta membatalkan perjanjian kita bukan sahaja dengan BlackRock tetapi juga dengan semua syarikat berkaitan Israel seperti Apple, Microsoft dan Nvidia, tetapi semua perlu sedar bahawa mereka tidak dimasukkan dalam senarai hitam oleh PBB seperti BlackRock, dan mereka juga bukan mahu mengambil-alih aset strategik negara.

Status GIP sebagai pemegang saham minoriti MAHB didakwa tidak akan membolehkannya terlibat dalam pengurusan syarikat tetapi Ketua Pengangkutan GIP, Phil Iley, dalam wawancara dengan Bernama pada 21 Jun menyebut GIP akan memainkan peranan sebagai rakan teknikal dan memberikan sebanyak mungkin sokongan operasi dan bantuan yang diperlukan oleh MAHB.

Tegasnya, apa yang disuarakan oleh Mohamad Hasan adalah selaras dengan suara Malaysia dalam pelbagai wadah forum, mesyuarat dan persidangan antarabangsa. Ia juga selari dengan suara akar umbi UMNO dan rakyat. Walaupun jika apa yang disuarakan ini tidak diterima tetapi Mohamad Hasan telah melaksanakan tanggungjawab beliau dan beliau juga akur dengan suara majoriti.

Dr Mohd. Noor Mat Yazid.

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Profesor Madya di Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorllS) serta Pensyarah Kanan di Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari 1996 ke 2022.

1 Komen

  1. Yg duk mengarut dan menjilat ni Zahid Hamidi..ye laa dia kan ada kes rasuah…mau tak mau terpaksa laaaaa sokong Blackrock

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here