NIBONG TEBAL – Sebanyak enam kompaun dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) ke atas penternak ladang unggas dalam Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) bermula 19 Februari hingga 30 April lalu.
Tiga daripada kompaun itu dikeluarkan terhadap pemilik ladang di Sungai Bakap.
Pengarah JPVPP, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kompaun dikeluarkan atas kesalahan masalah lalat dan menjumpai ‘maggot’ di dalam najis.
Jelas beliau, selain daripada tindakan kompaun, JPVPP juga telah menasihatkan penternak untuk membuat semburan lalat berjadual terutamanya semasa proses pengeluaran ayam serta melaksanakan pembersihan najis segera.
“Sepanjang tempoh tersebut juga Jabatan telah mengenal pasti ladang-ladang unggas hotspot dengan masalah lalat.
“Kita akan terus menjalankan pemantauan ke atas ladang-ladang unggas yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Saira Banu berkata, sebanyak 187 buah ladang unggas telah diberi lesen di negeri ini dan 115 membabitkan SPS.
“JPVPP telah mengeluarkan lesen pada 19 Februari lalu kepada penternak unggas yang menjalankan penternakan melebihi 10,000 ekor dan ke atas.
“Selepas itu kita memberikan tempoh sehingga 30 April untuk penternak unggas yang berlesen mematuhi syarat pelesenan.
“Antara syarat pelesenan utama yang perlu dipatuhi adalah pengurusan sisa unggas dengan baik,” katanya.
Enakmen Perladangan Unggas (Pulau Pinang) 2020 dan Peraturan- Peraturan Perladangan Unggas (Negeri Pulau Pinang) 2022 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, sebelum ini Enakmen tersebut berada dibawah Pihak Berkuasa Tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, meskipun sudah lali dengan masalah diserang ribuan lalat sejak bertahun lalu namun peniaga di Taman Halaman Indah, Sungai Bakap, di sini, mengharapkan jalan penyelesaian daripada bakal wakil rakyat yang akan dipilih pada 6 Julai nanti. – MalaysiaGazette