Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak perlu takut untuk mengisytiharkan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kosong sekiranya yakin dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, langkah itu perlu sekiranya Kerajaan Perpaduan ingin membuktikan bahawa mereka benar-benar diterima oleh rakyat.

“Kalau anak jantan, silalah buka gelanggang, jangan sekadar berani turunkan 3 sen sebiji telur.

“Berani biarlah bertempat, kebijakan biarlah beralas seperti mana Speaker DUN Kelantan yang cakna membuat keputusan, SPR pun memudahkan kerja dan rakyat atau pengundi kembali menggunakan kuasa mereka untuk memilih wakil rakyat yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar juga perlu menunjukkan sikap menghormati pengundi dengan bertindak meletakkan jawatan dan undur diri.

Jelasnya, kesemua enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dari Bersatu itu perlu membuang ego masing-masing dan menyerahkan mandat kembali kepada rakyat.

“Adalah lebih baik Ahli-ahli Parlimen bekas parti Bersatu ini menunjukkan sikap budiman untuk mengundurkan diri dan menghormati pengundi yang telah mengundi mereka.

“Buanglah ego kamu, hormatilah pengundi. Kalau rasa handal dan hendak menyokong PMX, bertandinglah semula. Usah bimbang atau takut,” katanya lagi.

Johari di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, beliau akan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan dalam tempoh 21 hari.

Terdahulu, surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 1 Jun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti yang diarahkan Bersatu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Minggu lalu,  Speaker Dewan Undangan negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here