Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi bercakap pada media selepas Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024.

SHAH ALAM – Keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) adalah kuasa yang dimiliki sebagai badan pengelola liga bola sepak di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya yakin keputusan baharu itu tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak.

“Keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL adalah kuasa sebagai badan pengelola liga bola sepak di negara dan tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Negeri Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi bergambar bersama Atlet Negeri Selangor yang mendapat insentif kecemerlangan SPM 2023 di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024.

Beliau diminta mengulas kenyataan seorang ‘individu berpengaruh’ yang mengeluarkan kenyataan menyindir selepas ini mana- mana kelab bola sepak tidak membayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga boleh meminta sultan tulis surat murka.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan empat bentuk hukuman termasuk denda sebanyak RM100,000 kepada Selangor FC kerana ‘tidak hadir’ pada saingan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Lembaga Pengarah MFL menetapkan denda berkenaan bakal disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

MFL dalam satu kenyataan berkata, tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025.

Bagaimanapun, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Namun bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here