BERPELUANG menonton teater Persiapan Seorang Aktor, dengan garapan pengarah Dr Syahrul Musa hasil tulisan Saat Omar serta gandingan dua pelakon hebat Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin, ia merupakan satu pementasan penuh emosi dan berbaloi.
Aloy bukan watak baru yang lahir di pentas teater. Namanya sudah dikenali sejak 1996, namun olahan kali ini sungguh berbeza.
Mesej sentap menerusi teater ini memberi isyarat jelas, pelakon seni panggung atau pentas komersial haruslah diberi layanan, ganjaran dan juga pengiktirafan seadil-adilnya.
Seharusnya idea pementasan ini diangkat dan dipentaskan sekurang-kurangnya di Dewan Bahasa dan Pustaka atau mahu gah lagi Istana Budaya – tapi renovasinya belum selesai, mungkin.
Apabila bercakap soal teater, kita sering mahukan murid-murid di sekolah atau di universiti memahami dan mendalami apa itu teater, namun di manakah ruang yang diberikan untuk wajah teater ini ada dipamerkan atau dalam erti kata lain, promosi dan publisiti.
Mereka bukan tidak ada, bahkan tumbuh melata, cuma tiada siapa yang sedar kerana ruang pelakon komersil lebih luas diberikan berbanding mereka yang jauh lebih berbakat, tiada istilah tangkap muat.
Teater ini mengisahkan tentang Saddiq Sauffi, seorang pelakon yang ingin menjadi pelakon hebat hingga menjadi sebutan seantero dunia.
Namun, obsesnya pada lakonan menyebabkan hidupnya semakin susah. Tiada beras, tiada lauk untuk dimasak hingga apa pun tiada di dapur rumahnya.
Penggunaan lakonan berkaedah (method acting) menjadikan Saddiq sering tidak keruan dan wtak-watak sebelum ini seakan-akan tidak membenarkan ‘orang baru’ masuk ke jiwanya.
Di situlah konflik Saddiq Sauffi yang akhirnya tidak berdaya melawan.
Saddiq Sauffi mempunyai seorang isteri yang begitu setia di sisi. Memahami setiap perilaku suaminya tanpa ada sangsi.
Bahasa mudah yang diungkapkan Aloy dan Fazleena berjaya menghidupkan watak sebagai sepasang suami isteri. Ada ketika romantis, ada ketika bergaduh dan ada ketika diam tanpa bicara.
Penulis merasakan inilah antara karya terbaik 2024 namun sayang ia hanya dipentaskan di ruang kecil milik penerbit teater ini, Walid Ali di studio Sedar Ruang di Alam Budiman, Shah Alam.
Karya ini juga mendapat sentuhan pengarah artistik dan poster, Hamzah Tahir, rekaan cahaya oleh Walid Ali dibantu Ahmad Daniel Haikal Ahmad Taufek dan rekaan set oleh Hafshizan Hashim.
Tidak terasa satu jam kerana ia diwarnai pelbagai emosi dan rasa, apatah lagi dialog santai dan mudah menusuk ke kalbu penonton menjadikan Persiapan Seorang Aktor bukan teater biasa-biasa.
Akhirnya, mampukah industri seni tanah air mengangkat mereka sama glamer seperti layer pentas yang lain?
Mampukah diberikan tempat kepada penggiat teater untuk melebar luaskan karya mereka yang banyak mesej daripada bercanda?
Adakah Malaysia mampu meletakkan teater ini (bukan komersil semata-mata) tetapi ganjaran sama mewah seperti yang sedia ada?
Masih berbaki tiga hari untuk anda menonton karya hebat ini. Silakan jika mahu rasa sendiri. – MalaysiaGazette