Sunday, June 30, 2024
Home Sukan Selangor FC akan buat rayuan terhadap keputusan baharu

Selangor FC akan buat rayuan terhadap keputusan baharu

Foto media sosial Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor FC menjelaskan kelab itu masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan hukuman dikenakan kepada pasukan itu sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan, The Red Giants hanya akan membuat rayuan terhadap keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Rayuan tersebut juga akan berlandaskan kepada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan hukuman berkenaan.

The Red Giants juga mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan tersebut susulan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 pada 10 Mei lepas.

Kenyataan terbaharu itu adalah respons terhadap keputusan MFL yang telah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap pasukan tersebut.
Semalam, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk mengurangkan denda kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000.

Namun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

Jelas MFL, badan pengelola liga itu akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

Selain itu, pemotongan tiga mata yang dikenakan sebelum ini juga dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan.

Keputusan itu bermakna penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here