SURABAYA – Tujuh pemain futsal negara mengalami keracunan makanan sebelum perlawanan final menentang Indonesia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA) di sini  hari ini.

Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia terpaksa akur meraih pingat perak selepas dikecewakan tuan rumah  4-1 pada aksi final.

Pengendali pasukan Addy Shairullyzam berkata anak buahnya sudah kelihatan tidak bermaya sebelum melangkah ke perlawanan final dan tiga daripada mereka mendapatkan rawatan titisan intravena (IV Drip).

Katanya, pemain bagaimanapun tetap meneruskan perlawanan demi menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di temasya sukan berprestij itu.

“Separuh daripada mereka keracunan, cirit-birit dan muntah-muntah dan terpaksa diberi IV Drip.

“Walaupun tak dapat emas tapi mereka berjaya habiskan perlawanan, kita cuba nak dapatkan gol awal, tapi pemain kita makin kekurangan tenaga, mental dan fizikal mereka tak mampu nak dapatkan gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawnaan itu.

Addy berkata punca keracunan para pemain masih belum dikenal pasti kerana kesemua pemain hanya makan hidangan yang disediakan di hotel kontinjen.

Jaringan tunggal skuad negara disudah Muhammad Syarifuddin Md Akhir pada minit ke-38 manakala empat jaringan Indonesia disempurnakan Dewa Rizki pada minit ketiga dan kesembilan, Brandyca Piola (ke-11) dan Ramadhani Zidani (ke-34). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast