Penonton auditorium berputar 360 darjah di Encore Melaka bebas menyaksikan persembahan di pentas sepanjang 240 meter yang mengintegrasikan muzik, tarian, drama, dan teknologi multimedia yang pastinya menjanjikan pertunjukan memukau.

MELAKA – Encore Melaka, sebuah teater bertaraf dunia yang menjadi ikonik Melaka akan menampilkan persembahan teater musim baharu mengisahkan sejarah negeri itu sejak 700 tahun lampau, bulan depan.

Pengasas pentas auditorium pertama di Asia Tenggara yang berputar 360 darjah itu, Datuk Wira Boo Kuang Loon berkata, karya lebih satu jam akan membawakan kisah bumi Hang Tuah  yang diyakini dapat menyentuh hati penonton.

“Persembahan selama 70 minit ini akan menggunakan teknologi kreatif untuk menceritakan sejarah 700 tahun dan perubahan Melaka merangkumi kepelbagaian etnik yang memberi impak kepada kehidupan masyarakat.

“Kami yakin teater muzim baharu ini bermula 7 Julai akan memberikan pengalaman yang dapat menyentuh hati penonton.” katanya pada sidang media persembahan di sini.

Boo Kuang Loon (dua dari kiri) ketika sidang media di Encore Melaka

Mengulas lanjut, Kuang Loon berkata, persembahan itu juga sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Uniknya di Encore, penonton di auditorium berkapasiti 1,800 kerusi tempat duduk ini bebas menyaksikan persembahan di pentas sepanjang 240 meter yang mengintegrasikan muzik, tarian, drama, dan teknologi multimedia.

“Lebih daripada 1,000 perenjis air di pentas air dan kabus, enam platform yang boleh dikawal ketinggian sehingga enam meter dan yang besar, ia pastinya menjanjikan pertunjukan memukau.

Antara aksi persembahan artis di Encore Melaka

Jelasnya, persembahan selama 70 minit melalui enam segmen itu akan bermula dengan kisah legenda penubuhan Melaka pada tahun 1400 oleh Paremeswara yang mendapat insipirasi keberanian seekor kancil.

Segmen lain adalah kedatangan Cheng Ho dengan armadanya pada tahun 1405, Nyonya dan Perkahwinan, Enam Ibu, Wanita Hamil yang mengisahkan penghormatan dan ketabahan mereka sewaktu perang, melambangkan kebangkitan Melaka selain Wau dan Finale.

Persembahan akan bermula pada 7 Julai ini pukul 5.30 petang dan 8.30 malam setiap hari kecuali Rabu manakala hari Ahad pada pukul 2.30 petang dan 5.30 petang.

Untuk sebarang maklumat tiket boleh hubungi www.encore-melaka.com atau talian 06-2707777/ 012-6507010 selain talian acara, jualan dan pemasaran 06-2707799 / 017–902 6010. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast