Mohd Na’im Mokhtar bergambar bersama perserta Program Anak Muda Hero Keluarga sempena Sambutan Hari Bapa 2024 di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Doktor-doktor dan juga pakar perancang keluarga dinasihatkan agar menggunakan kebijaksanaan apabila berdepan dengan pasangan yang tidak mahu memiliki anak secara sengaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bagi mengelakkan ia menjadi trend ataupun gaya hidup masyarakat yang menggunakan alasan ‘childfree’ untuk bebas daripada tanggungjawab dalam berumahtangga.

Katanya, doktor mempunyai tanggungjawab memberikan teguran dan juga nasihat yang baik terhadap pasangan-pasangan berfikiran sedemikian.

“Yang tak bolehnya nak childfree datang jumpa doktor kata saya nak ubat sebab saya masih lagi nak happy (suka-suka) macam orang bujang dulu…itu yang menjadi persoalan.

“Tapi, jika alasan yang diberikan atas sebab faktor kesihatan itu tidak mengapa, inilah yang kita katakan terpulang kepada kebijaksanaan doktor-doktor itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Anak Muda Hero Keluarga sempena Sambutan Hari Bapa 2024 di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media berhubung trend masa kini apabila ramai pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree.

Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa hukum suami isteri yang tidak mahu memiliki anak secara sengaja hingga menjadikan ia sebagai gaya hidup untuk bebas daripada tanggungjawab adalah makruh mengikut syarak.

Katanya, perkahwinan secara asasnya adalah fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat termasuk memiliki anak, selain Islam tidak mewajibkan atau melarang pasangan memiliki cahaya mata.

Menurut Pejabat Mufti lagi, golongan yang terpengaruh dengan fahaman itu hingga menjadikannya sebagai gaya hidup jelas bertentangan fitrah manusia dan tujuan utama perkahwinan disyariatkan.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan pasangan ingin berkahwin atau mahu membuat perancangan keluarga untuk memahami konsep anak dalam keluarga sebagai anugerah, bukannya bebanan.

Ia turut berpotensi menjadi sumber pahala berterusan, selain bagi umat Islam perkahwinan adalah wasilah (penghubung) mencapai kesempurnaan agama.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pasangan yang berkahwin perlu melihat anak dikurniakan sebagai rezeki daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, sekiranya perancangan itu berdasarkan kepada cara untuk mengatur kehidupana terutama melibatkan kewangan ia tidak salah.

“Tapi kalau masih nak happy macam bujang dulu, tak bolehlah sebab perkahwinan itu datang dengan tanggungjawab dan lelaki perlu jadi seorang pemimpin.

“Kalau wanita pula jika sebelum dia berkahwin dia dengan wali saja mak ayah dia, tapi bila dah jadi isteri dan ibu dia kena ada tanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here