KOTA KINABALU – Food Fest 2024 anjuran Fakulti Sains dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat menjadi pemangkin buat rakan industri untuk melahirkan pelbagai inovasi makanan.
Menurut Naib Canselor UMS, PRof. Datuk Dr. Kasim Mansor, pelancaran program ini adalah untuk mendukung hasrat UMS untuk menjalinkan hubungan erat bersama pemain industri selain meningkatkan keterjaminan makanan.
“Penglibatan ini secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada para pelajar untuk mengukuhkan pengetahun serta menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam aktiviti yang dianjurkan pihak universiti.
“Justeru itu, saya menyambut baik kolaborasi sebegini yang mampu memangkin usaha dalam penghasilan produk yang lebih mampan melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri,” katanya dalam majlis perasmian baru-baru ini.
Program itu merupakan anjuran bersama dengan pelbagai agensi kerajaan serta rakan industri FSMP seperti KO-Nelayan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Korporasi Pembangunan Desa (KPD), ADABI, BTC dan lain-lain lagi.
Menurutnya, pelaksanaan program sebegini bukan sahaja dipercayai dapat menyumbang kepada kemenjadian pelajar atau graduan FSMP tetapi juga kepada masyarakat dan negara.
Pelbagai acara telah dijalankan semasa program itu seperti pameran jualan program prasiswazah FSMP, pameran rakan industri, aktiviti sukaneka, demonstrasi memasak, pertandingan pembangunan produk makanan dan produk inovasi, tamu dessert dan pertandingan mewarna. – MalaysiaGazette