Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada program Ceramah Kelompok bersama penduduk tempatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Simpang Ampat, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Suara orang Melayu akan semakin mengecil sekiranya mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Kegusaran itu diluahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan jumlah peratusan keluar mengundi PRK Kuala Kubu Baharu (KKB).

Jelas beliau, meskipun bilangan orang Melayu ramai namun mereka tidak menggunakan hak mengundi sekali gus membiarkan orang lain mentadbir negara.

“Macam di KKB, saya jumpa ramai macam ini, sedap hati. Ada yang kata jangan takut orang-orang UMNO pun kata Tan Sri kali ni kita akan sokong tapi sampai hari nak mengundi, tak keluar mengundi pun.

“Saya tak cakap Melayu hilang kuasa tapi suara orang Melayu akan menjadi kecil sedangkan bilangan ramai.

“Undi penting..Kalau orang Melayu tak mengundi negara ini akan terlungkup..Saya sebenarnya sedih tengok ramai orang Melayu tak mahu keluar mengundi, tengok kaum Cina, India mereka keluar beramai-ramai, untuk mengundi,”kata ketika berucap pada Ceramah Mega PRK N.20 Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Muhyiddin meminta penduduk Sungai Bakap untuk menyampai berita pulang mengundi kepada rakan-rakan yang berada di luar kawasan tersebut.

“Tidak kira parti mahupun kaum, semua masyakat harus keluar mengundi demi memastikan hak masing-masing.

“Tolong sampai kepada rakan-rakan kita yang lain tak kira di mana sama ada berada di Sungai Bakap mahupun Kuala Lumpur, Singapura minta dia balik mengundi dan saya fikir pasti Insya Allah PN akan menang,” ujar beliau.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here