Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merombak kepimpinan UMNO di Sabah dengan menggugurkan Datuk Seri Bung  Radin kerana kepimpinan lemah dan membimbangkan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Bung bukan sahaja tidak mendapat restu daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO bahkan mengancam keharmonian dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Bung dilihat seolah-olah cuba menjadikan UMNO Sabah sebagai syarikat sendirian berhad miliknya.

“Sebagai salah seorang bekas aktivitis akar umbi UMNO sejak sekian lama, saya berpendirian Bung adalah liabiliti sebenar sehingga UMNO Sabah dilihat semakin hari semakin melemah.

“Saya secara konsisten mencadangkan agar Presiden UMNO segera menukar Bung dan menggantikannya dengan pemimpin lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sikap Bung yang membelakangkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO ketika bekerjasama dengan Warisan bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN17 hanya menyerlahkan betapa lemahnya kepimpinannya.

“Tindakan Bung memberi amaran kepada UMNO Tuaran selepas menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk merasmikan mesyuarat UMNO bahagian baru-baru ini adalah satu keputusan dan tindakan yang tidak tepat.

“Bung sebenarnya dilihat jelas takut kepada bayang-bayang sendiri. Ini adalah petanda UMNO di Sabah berpecah kepada dua kumpulan iaitu pro Shafie dan pro Hajiji walaupun perkara ini cuba dinafikan oleh Presiden UMNO,” katanya.

Menurutnya, langkah kudeta UMNO Sabah bersama Warisan dan beberapa langkah sama yang dipercayai didalangi Bung secara jelas menunjukkan UMNO kini diketuai oleh pemimpin yang salah.

“Kedegilan Bung bersama Warisan walaupun seringkali diingatkan Presiden UMNO agar tiada bekerjasama dengan mana-mana parti sehingga PRN akan datang menunjukkan sikap angkuh Bung.

“Bung seharusnya bermuhasabah kenapa ramai pemimpin dan ahli meninggalkan UMNO Sabah ketika ini.

“Tindakan pemimpin dan ahli-ahli keluar UMNO sebenarnya adalah satu mesej yang sangat jelas bahawa mereka telah menolak kepimpinan Bung,” dakwa beliau.

Dakwa Zulkarnain lagi, corak kepimpinan kasar Bung juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin tawar hati dengan UMNO.

“Malahan dengan izin Allah jangkaan saya UMNO Sabah bekemungkinan akan kekal sebagai parti pembangkang selepas PRN17 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette