Sukarelawan NIOSH melakukan gimik kutipan sampai pada Program CSR NIOSH, Pembersihan Pantai di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Tahap kesedaran mengenai aspek keselamatan pekerja dalam industri pelancongan di negara ini masih rendah berbanding sektor pembinaan dan pembuatan.

Setiausaha Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOS), Hanif Maidin berkata, keadaan itu berlaku kerana ramai beranggapan industri pelancongan adalah bermusim dan tidak berkembang pesat seperti sektor lain.

“Sebab itu aduan pengabaian keselamatan pekerja pun kurang kita terima contohnya di Melaka kerana tahap kesedarannya pun rendah.

“Sebagai contoh, di sini banyak chalet dan inap desa untuk aktiviti pelancongan air tak ambil berat apakah peralatan-peralatan, langkah keselamatan sebelum naik bot, kawasan mana pelancong nak mandi-manda dan laluan bot,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat NIOSH, Pembersihan Pantai di pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak di sini hari ini.

Seramai lebih 100 sukarelawan NIOSH dan pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka menyertai program tersebut yang berjaya mengutip 39.5 kilogram sampah di sepanjang hampir satu kilometer di pesisir pantai pelancongan dan nelayan itu.

Mengulas lanjut Hanif berkata, bagi meningkatkan tahap kesedaran itu, NIOSH akan menggandakan kempen khidmat nasihat kepada semua penggiat industri pelancongan berhubung Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan 1 Jun lalu.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan agensi pelancongan di setiap negeri untuk memberi penerangan berkaitan risiko dan bahaya dalam industri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here